Tuesday 25 October 2016

Adab dan Hati II

Saya hanya menerima satu atau dua pelajar PhD saja setahun disebabkan kekangan masa. Sejak 2009 sebelas pelajar PhD saya telah lulus, 70% dengan perubahan kecil dan selebihnya dengan perubahan besar.

Saya terima semua keputusan tersebut dengan hati terbuka. Tiada komplen. Namun hari ini perasaan saya sangat berbeza. Sukar digambarkan. Marah kecewa sedih bercampur baur. Bukan dengan keputusan viva tapi cara ia dikendalikan.

Pengerusi memulakan sesi dengan membaca peraturan. Kemudian memberitahu beliau akan kendalikan sesi 'without fear and favour' dan akan turut bertanya soalan2 yang dirasakan perlu. Saya terpegun. Tiada kata aluan yang boleh menenangkan pelajar.

Pemeriksa pertama memulakan sesi dengan soalan dan kritikan yang agak keras. Disambung pula oleh pemeriksa kedua. Beberapa soalan di luar konteks kajian turut dihamburkan. Saya terfikir adakah pemeriksa memahami konteks kajian. Juga tiada sebarang kata aluan untuk menenangkan pelajar.

Pusingan kedua turut bermula dalam tempo yang sama. Tiada ruang langsung diberikan kepada pelajar untuk bertenang. Alhamdulillah pelajar dapat menjawab soalan dengan baik walau jelas nampak getar suara kegugupan beliau.

Dipertengahan sesi pemeriksa mula mengakui kebaikan dan potensi kajian pelajar. Namun mereka masih memilih untuk memberi tumpuan dan membesarkan isu2 kecil dan remeh yang saya fikir timbul disebabkan ketidakfahaman pemeriksa atau keegoan mereka. Lebih mengecewakan apabila pengerusi turut melontarkan pelbagai soalan tambahan.

Beberapa penjelasan tidak diterima walaupun rujukan dibuat kepada sumber yang credible. Pemeriksa kedua walau bersetuju dengan penjelasan diberikan namun mengambil sikap berdiam diri apabila disanggah pemeriksa pertama.

Sebagai penyelia saya terpaksa menahan sabar. Peraturan tidak membenarkan saya masuk campur kecuali diminta berbuat demikian. Sesi soal jawab tamat selepas hampir 4 jam. Kemudian saya dan penyelia bersama diberi peluang memberi penjelasan.

Tidak banyak boleh saya katakan kecuali melahirkan sedikit rasa kecewa. Saya telah mempengerusikan banyak sesi viva dan menjadi pemeriksa tesis bukan saja di Malaysia tetapi pernah juga dilantik di luar negara namun inilah pengalaman paling teruk saya.

Alhamdulillah beliau lulus. Mereka memilih lulus dengan perubahan besar walaupun ianya boleh diperbetulkan dalam tempoh kurang sebulan. Yang penting saya sangat berbangga dengan pelajar saya. Dalam lebih 20 pelajar PhD saya inilah tesis terbaik pernah saya selia yang mempunyai impak bukan saja kepada teori tetapi juga praktikal.

posted from Bloggeroid

1 comment: